Tuesday 25 February 2014

Asam pedas Melaka sejati


Amiruddin bersama ayahnya, Abd. Karim Haron di hadapan kedai mereka.

ASAM pedas merupakan salah satu masakan tradisional Melayu yang cukup terkenal yang kini telah diterima oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa, serta agama.

Sememangnya cukup digemari oleh sesiapa sahaja, bagaimanapun asam pedas dihasilkan dalam pelbagai cara mengikut negeri.

Begitupun, asam pedas Melaka merupakan asam pedas yang cukup terkenal dan sentiasa dicari-cari para penggemar masakan tersebut.

Enak dinikmati ketika panas dengan sepinggan nasi putih serta ulam-ulaman, asam pedas Melaka dilihat tiada tandingannya.

Jika dahulu, orang ramai sanggup mengunjungi negeri Melaka pada setiap hujung minggu semata-mata ingin menikmati masakan tradisional tersebut, kini tidak lagi perlu bersusah payah memandu jauh kerana di ibu kota ramai peniaga makanan telah menyelitkan hidangan tersebut di dalam menu harian mereka.

Antara sedap atau tidak, itu yang perlu ‘diterokai’ para peminat masakan tersebut. Namun, tidak keterlaluan sekiranya dinyatakan di sini bahawa asam pedas Melaka yang enak tetap dihasilkan oleh anak jati negeri Baba dan Nyonya itu sendiri.

Misalnya kedai Asam Pedas Sejati Melaka yang terletak di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur, segala ramuan yang digunakan dalam masakan tersebut bukan sahaja ‘tulen’ menggunakan resipi dari Melaka, malah diadun sendiri menggunakan bahan-bahan segar tanpa sebarang campuran bahan-bahan lain.
Menurut pengusaha kedai tersebut, Amiruddin Abd. Karim, 21, perniagaan yang diusahakan sememangnya menyajikan asam pedas semata-mata.

Ini kerana katanya lagi, ia bertujuan untuk memberi peluang kepada penggemar masakan tradisional tersebut merasai menu tersebut tanpa sebarang campuran menu lain.

Lagi pun ulasnya, perniagaan yang diwarisi daripada ayahnya itu telah bertapak lebih daripada 15 tahun.
Apa yang istimewa mengenai masakan asam pedas di kedainya itu, Amiruddin memberitahu ramuan yang dihasilkan untuk dijadikan pes asam pedas adalah resipi asli daripada nenek sebelah ayahnya yang merupakan anak jati Melaka.

Diperturunkan kepada arwah ibu dan ayahnya, ia kini diwarisi pula oleh Amiruddin dalam usaha mengekalkan perniagaan serta resipi keluarganya itu.

Berbicara lanjut mengenai perniagaan yang diusahakannya itu, Amiruddin menjelaskan ia dibuka setiap hari kecuali hari Jumaat bermula pukul 11 pagi hingga 3.30 petang dan kemudiannya dibuka semula pada sebelah malam bermula 7.30 hingga 10 malam.

Menyediakan pelbagai jenis ikan segar untuk dipilih para pelanggan, asam pedas sejati Melaka ini sememangnya mempunyai ‘ummp’ tersendiri.
“Setiap hari seawal 9 pagi saya akan ke kedai untuk menyediakan sendiri ramuan asam pedas yang dijadikan pes sebelum dimasak menjadi kuah.

“Sememangnya saya sendiri yang menyediakan ramuan tersebut kerana ingin mengekalkan keenakan asam pedas itu sendiri. Bukan bermakna saya tidak mempercayai para pekerja tetapi biarlah saya yang menyediakannya kerana resipi asli telah pun diperturunkan kepada saya.

“Selepas pes asam pedas siap barulah kami mula memasak kuahnya dan sudah pasti kuah yang disajikan setiap hari adalah segar. Begitu juga pelbagai pilihan ikan di mana kami membelinya setiap hari untuk mengekalkan kesegarannya,” ujarnya ketika ditemui dipremis perniagaanya yang terletak di No. 37, Jalan A, Kampung Pandan Dalam.

Antara ikan-ikan yang disajikan untuk pilihan para pelanggan di Asam Pedas Sejati Melaka ialah ikan kembung, jenahak, merah, pari, dan tenggiri.

Selain ramuannya yang asli, keistimewaan asam pedas di kedai ini ialah ia disajikan di dalam periuk tanah kepada para pelanggan.

Menurut Amir, sebaik sahaja pelanggan membuat pesanan, ikan akan dimasukkan ke dalam periuk tanah bersama kuah asam pedas tadi dan kemudiannya dimasak semula sehingga ikan mentah tadi masak.
Ini bermakna, setiap jenis ikan hanya akan dimasak apabila menerima pesanan pelanggan melainkan kuahnya sahaja yang disediakan dahulu bagi mengelakkan pelanggan menunggu lama.

Selain asam pedas, Amiruddin turut memberitahu pihaknya menyediakan set untuk menikmati masakan asam pedas tersebut seperti nasi putih, asam pedas (dengan pilihan ikan daripada pelanggan), ikan masin, ulam-ulaman, serta telur masin.

Mampu memuatkan 50 orang pada satu-satu masa, anak muda ini menjelaskan pihaknya menyediakan dua periuk besar untuk kuah asam pedas setiap hari.

Turut mempunyai cawangan di Kampung Baru serta Kelana Jaya, Amiruddin berkata, kini pihaknya dalam perancangan untuk membuka sebuah lagi cawangan di sekitar kawasan Bangi dan kesemua cawangan ini dikendalikan oleh adik beradiknya sendiri.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140131/ke_05/Asam-pedas-Melaka-sejati#ixzz2uOzXtEFX
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment